Aktiviti: Bersama remaja Falak cerap gerhana

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Ramai di kalangan masyarakat kita, hanya mengetahui kejadian gerhana matahari akan menjadikan kawasan yang mengalaminya gelap dari keadaan biasa.

Jika ianya gerhana matahari penuh, maka kawasan yang mengalaminya akan menjadi gelap penuh seperti waktu malam yang disinari bulan.

Haiwan pula menjadi senyap dan ada yang tidur kerana menyangkakan malam telah tiba.

Namun tahukah kita, selain bumi menjadi gelap, beberapa fenomena lain turut berlaku semasa keajaiban cakrawala ini terjadi?

Pernahkan anda mendengar sebijir telur boleh berada dalam keadaan tegak apabila berlaku gerhana matahari?

Ya, itulah antara yang cuba dikaji sekumpulan 25 remaja dari Universiti Malaya sewaktu berlakunya gerhana matahari separa semalam.

Mereka adalah dari Jabatan Falak Syarie Akademi Pengajian Islam (API) dan dari Jabatan Fizik Fakulti Sains mengadakan aktiviti rutin mencerap setiap kali berlakunya keajaiban cakerawala seperti gerhana matahari ini.

Beberapa biji telur ayam dan burung puyuh digunakan sewaktu menjalankan eksperimen itu semalam.

Kira-kira jam 3.40 petang, kesemua telur tersebut berjaya didirikan oleh pelajar-pelajar ini.

Ianya berlaku kesan daripada kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan sewaktu gerhana yang menyebabkan wujudnya tarikan graviti ke ke atas.

Dalam keadaan ini, putih telur dikatakan tertarik ke bahagian atas manakala kuning telur yang sedikit berat berada di bahagian bawah sekaligus mewujudkan keseimbangan.

Prinsip yang sama juga berlaku kepada kejadian pasang surut air laut.

Jika dalam keadaan gerhana, di mana bumi, bulan dan matahari berada di dalam satu garisan, maka akan berlakulah air pasang perbani atau disebut juga air pasang besar.

"Aktiviti utama kita hari ini adalah bagi melihat kebolehberdirian telur ini sewaktu berlakunya gerhana matahari, ianya mengambil daripada teori pasang surut air," jelas Mohamad Khairul Anwar Misri, ketua lajnah Falak Syarie UM yang mengetuai aktiviti cerapan tersebut.

Selain mengkaji kebolehberdirian telur, mereka juga turut mengkaji bentuk bayang-bayang yang terhasil sewaktu berlakunya gerhana matahari ini.

Menurut Khairul, dalam keadaan gerhana, bayang-bayang yang terhasil dari setiap objek adalah berbentuk sabit kesan daripada pancaran matahari yang sebahagiannya ditutup sebanyak 28 peratus oleh bulan.

"Jam 4.26 tadi adalah waktu puncak di mana kita sepatutnya dapat melihat bayang-bayang setiap objek, berbentuk bulan sabit.

"Tetapi kita tidak dapat melihatnya dengan jelas kerana gangguan dan halangan daripada awan" jelasnya lagi.

Selain menggunakan kaedah moden seperti teleskop dan kacamata khas, mereka juga menggunakan kaedah taradisional seperti melihat dari pantulan dalam air dan menggunakan kaedah 'pin hole' atau lubang kecil yang dibuat di atas sekeping kertas.

Aktiviti tersebut diadakan secara terbuka dan turut disertai orang ramai serta warga varsiti yang lain.

Terdahulu, kumpulan tersebut juga mengadakan solat sunat dan bacaan khutbah gerhana seperti yang diamalkan oleh baginda Rasulullah S.A.W semasa di zaman baginda.

Ianya disertai lebih 50 orang yang tidak mahu ketinggalan menunaikan ibadah sunat yang jarang-jarang sekali boleh dibuat.

Pada asasnya gerhana matahari merupakan satu fenomena membabitkan matahari yang sedang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap sebahagian atau keseluruhannya, kerana dihalang oleh bulan yang berada di antara matahari dan bumi.

Ianya kerana matahari, bulan dan bumi berada dalam kedudukan sebaris dengan bulan terletak di tengah-tengah antara matahari dan bumi.

Manakala menurut islam, gerhana matahari yang berlaku adalah perintah Allah untuk mengingatkan manusia supaya bertaubat, memohon ampun dan sentiasa membesarkannya.

Perbuatan solat gerhana matahari dan bulan serta khutbah adalah sunat muakkad kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya ketika berlaku gerhana matahari.

Apabila terjadinya gerhana matahari, baginda SAW bergegas ke masjid menyeru kaum muslimin untuk bersama solat gerhana matahari.

Selesai daripada solat, baginda SAW naik ke mimbar menyampaikan khutbah yang mengandungi nasihat yang sangat penting.


sumber dari : http://www.harakahdaily.net/v2/

Post a Comment

0 Comments